Followers

Thursday, October 25, 2012

Salam Aidil-Adha: Kita tukang apa?


Setiap tahun, kita sambut Hari Raya Aidil-Adha dengan solat sunat di masjid dan melakukan ibadah korban.

Biasanya, pada waktu petang hari raya pertama akan mendudu-dudu umat Islam ke masjid untuk menyertai ibadah itu yang berupa kerjasama mempersiapkan daging lembu, kambing atau unta untuk disedekahkan kepada fakir miskin dan selebihnya untuk komuniti di situ.

Pada pengamatan kita, ada macam-macam ‘tukang’ pada ketika itu. Antaranya ialah:
Tukang tengok: Ini paling ramai.
Tukang sorak atau tukang sebut ‘eeiii gelinyeeee…’: Ini yang kedua teramai
Tukang tunggu dapat daging: Banyakkk…
Tukang lapah: Sedikit-sedikit
Tukang angkat dan tukang agih: Jarang-jarang
Tukang kemas: Kadang-kadang

Raya tahun ni kita nak jadi tukang apa? Terpulang bagaimana kita nak menyumbang atau mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit untuk ibadah itu.

Selamat menyambut Hari Raya Aidil-Adha bagi tahun 1433 Hijrah. Semoga ibadah dan pengorbanan kita diredhai lagi diberkati oleh Allah SWT.

Monday, October 22, 2012

Imej Pemandu Teksi di Malaysia


“Kerana nilai setitik, rosak susu sebelanga.” Itu perumpamaan yang sesuai untuk imej buruk pemandu teksi di Malaysia. Hampir semua orang mengakuinya, tapi bukan semua pemandu teksi sebegitu.

Bicara Isnin akhbar Sinar Harian (SH) 22 Oktober 2012 siar hasil tinjauan di laman London Cabs (www.londoncabs.co.uk) yang menyatakan Malaysia di tangga teratas daripada 10 negara yang memiliki pemandu teksi terburuk di dunia.

Kedudukan itu disebabkan pemandu teksi di Kuala Lumpur khususnya terkenal kerana gemar mengenakan caj berlebihan kepada pelanggan dan enggan menggunakan meter. Keadaan teksi juga didakwa buruk dan ketinggalan zaman.

Akhbar SH juga ada buat tinjauan dan mendapati 70 peratus responden setuju bahawa pemandu teksi di Malaysia tidak berhemah dan biadap. 94 peratus responden juga setuju pemandu teksi di Malaysia perlu jalani kursus khas layan penumpang.

Dilaporkan juga beberapa pengalaman kisah benar penumpang. Ada yang mendakwa pemandu teksi memilih wanita cantik sebagai penumpang. Ada yang mengada-ngada dan gatal. Bahkan penumpang cantik diberikan tambang percuma dalam satu teksi sedangkan penumpang lain perlu membayar seperti biasa.

Ada juga penumpang yang pernah dicaj sesuka hati dan pernah dirompak pemandu.

Bagi saya, laporan ini semua ada kebenarannya. Tapi kita sebagai pembaca tidak wajar untuk membuat generalisasi mengatakan semua pemandu teksi sebegitu. Sedangkan masih ada yang ikhlas dan berhempas-pulas mencari rezeki menyara keluarga. Kita jangan label sesuatu pekerjaan secara menyeluruh.