Followers

Friday, February 8, 2013

Perihal Harimau, Serigala dan Musang


Pagi tadi, saya menghadiri Majlis Sambutan Maulidur-Rasul di Nusajaya. Dalam majlis itu, Ustaz Hanafiah Abdul Razak menyampaikan ceramahnya.

Antara isi menarik yang saya catit ialah tentang kisah analogi tiga jenis haiwan berkaitan sikap masing-masing yang dikupas daripada kitab berbahasa arab “Hayatul-hayawan al-kubra”. Mungkin kita mempunyai pelbagai perspektif terhadap kisah ini. Namun ianya pasti boleh difahami supaya bermanfaat kepada diri sendiri.

Suatu hari, harimau, serigala dan musang mendapat tiga hasil buruan bersama, iaitu rusa, kancil dan arnab. Mereka berbincang tentang cara membahagikan hasil tersebut.

Serigala memberi cadangan supaya ia dibahagikan secara adil, iaitu hasil buruan itu dibahagikan mengikut saiz. Yang besar mendapat bahagian yang besar, manakala yang  kecil mendapat bahagian yang kecil berdasarkan saiz badan serta keperluannya.

Maka rusa dicadangkan untuk diberikan kepada harimau, manakala kancil kepada serigala, dan arnab pula kepada musang.

Harimau membantah. Pada pendapatnya pembahagian itu tidak adil kerana walaupun daging rusa banyak namun ianya liat dan tidak sesedap kancil ataupun arnab.

Serigala naik angin. Musang hanya berdiam. Harimau naik berang. Akhirnya serigala dan harimau bergaduh. Mereka bergaduh sehingga serigala mati.

Seterusnya harimau yang ego itu bertanya kepada musang. Tentang bagaimana untuk membahagikan hasil itu.

Sambil berundur ke belakang, musang menyerahkan rusa itu sebagai bahagian kepada harimau.

Dia berundur dan terus berundur. Kancil juga diserahkan kepada harimau. Bahkan bahagiannya sendiri, iaitu arnab juga diserahkan kepada harimau.

Musang terus beredar.

Baginya, tidak mengapa dia tidak mendapat bahagian. Asalkan dia bahagia dan masih hidup.

Pengajaran daripada kisah ini masih boleh dipertikaikan. Tahap logiknya juga boleh dipertikaikan. Namun bagi saya ianya adalah kisah berbentuk metafora, iaitu secara majazi atau kiasan yang ditulis supaya kita berfikir dan mengambil manfaat daripadanya. Sekian.

No comments: