Followers

Monday, December 23, 2013

Resmi Biji Benih

“Diumpamakan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah, seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, setiap tangkai terdapat seratus biji benih lagi, dan Allah melipatgandakan bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya…”

*****

SYAFIQ merenung jauh ke arah sawah padi milik arwah ayahnya – cantik. Tanah lapang itu berwarna hijau dan kuning keemasan apabila disinari mentari yang hampir kegelinciran.

Pemandangan itu membuatkan hatinya tenang. Tidak seperti kecelaruan akibat sering menghadap hiruk-pikuk di kota raya. Sesekali pulang ke kampung sebegini memang merehatkan minda.

Syafiq bukan termenung menerawang masa hadapan. Biasanya duduk termenung dianggap sedang memikirkan masa hadapan. Mungkin juga mengenang nasib badan. Ataupun berangan-angan Mat Jenin.

Renungan Syafiq pula berbeza. Dia bermuhasabah diri.

“Banyaknya butiran padi,” hatinya berkata. Sebutir padi menghasilkan setitik warna kuning dari pandangan jauh Syafiq. Seluruh jelapang itu menjadi kuning. Ia terjadi dengan gabungan warna butiran-butiran padi masak yang tidak terkira banyaknya.

“Kau berangan, ya!” Sergah ibunya sambil menepuk lantai pondok kecil di tengah sawah itu. Tepukan itu mengejutkan Syafiq daripada lamunannya. Dia tersengih. Namun, otaknya masih ligat bermuhasabah diri.

Pondok yang hanya bertiang, berlantai, beratap dan tidak berdinding itu sungguh menyamankan. Sejuk mata memandang alam sekeliling yang dihiasi warna kuning keemasan, kehijauan alam dan biru putih awan di langit.

“Nyaman rasanya tiupan angin.” Ibunya duduk di sisi Syafiq. Angin sepoi-sepoi bahasa itu memang enak. Mungkin tidak sedingin alat penyaman udara. Tetapi bagi ibunya yang baru lepas berjemur di bawah teriknya matahari, angin biasa itu terasa luar biasa nikmatnya.

“Bu, macam mana arwah ayah mula menanam padi dulu?” Syafiq menoleh ke arah ibunya. Dia masih duduk dengan sebelah kaki melunjur memeluk kaki kanannya yang terlipat. Lagak seorang pujangga memburu inspirasi.

Si ibu terus menyuap nasi bekalan berlauk ikan goreng ke mulutnya. Lapar benar rasanya setelah membanting tulang mengusahakan tanah sekangkang kera itu.

“Syafiq, semua yang banyak bermula daripada yang sedikit.” Si ibu berkata sambil menyuap makanan ke mulutnya dengan penuh santun.

“Sepinggan nasi yang kita makan ini asalnya sebutir padi. Sebutir menjadi segenggam dan daripada segenggam pula boleh menjadi seguni...” Wajahnya serius.

Syafiq langsung teringatkan maksud sepotong ayat al-Quran. Ustaz Zambri, guru kelas fardu ain di surau pernah membacakan maksud ayat itu tempoh hari.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 261 yang bermaksud, “Diumpamakan orang yang
menginfakkan hartanya di jalan Allah, seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, setiap tangkai terdapat seratus biji benih lagi, dan Allah melipatgandakan bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya...”

‘Kalau begitu, untunglah orang-orang yang bersedekah,’ ujarnya di dalam hati. Daripada sebutir padi
boleh berkembang menjadi penuh satu padang. Syafiq berfikir jauh, sesekali dia mengalihkan punggungnya yang terasa hampir kebas.

Tapi sedekah yang macam mana boleh dapat ganjaran sebegitu? Timbul sedikit kemusykilan di hatinya.

“Kau fikir apa, Syafiq? Macam orang hendak berfalsafah saja.” Ibunya tertawa kecil melihat telatah anak bujangnya.

“Bu, orang macam kita ni kalau bersedekah macam mana? Kita bukannya berduit sangat pun. Berapa banyak pahala kita boleh dapat?” Syafiq yang hanya sesekali menyelitkan duit seringgit setiap Jumaat dalam tabung masjid, mulai sangsi. Bolehkah sekeping duit itu dibalas dengan beribu-ribu keping?

“Kau ni... itu semua kerja Tuhan, nak. Bukan kita yang memberi ganjaran, tetapi Yang Maha Kuasa. Dia yang memberi rezeki.” Si ibu menghabiskan baki makanan di dalam pinggannya. Kemudian menoleh ke kiri dan kanan mencari air minuman.

“Yang penting kau ikhlas! Jangan lupa sedekahkan yang terbaik. Jangan barang yang kau hendak buang, yang kau sendiri tidak mahu, lalu kau bagi pada orang.” Ibu terus mencapai termos dan menuang kopi O suam ke dalam penutupnya.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 265 yang bermaksud, “Orang-orang yang menafkahkan hartanya kerana menginginkan keredaan Allah dan menetapkan keimanan hatinya, umpama sebidang kebun yang terletak di dataran tinggi dan diturunkan hujan lebat, maka hasil buahnya dua kali ganda banyaknya. Maka jika tiada hujan lebat, memadailah hujan gerimis, dan Allah melihat apa yang kamu kerjakan.”

“Tapi kalau kau ada duit lebih, jangan teragak-agak. Sedekahkan kepada sesiapa saja. Insya-Allah, berkat hidup kau.” Ibu menambah lagi sambil tersenyum melihat anaknya yang bersih nuraninya itu.

“Kalau nak berkat lagi, sedekahkan pada ibu, ya! Ibu lagi suka!” Seloroh ibunya. Hilai mesra antara mereka memecah kesunyian seketika.

Walaupun Syafiq bekerja di bandar, dia sering menjenguk ibunya di kampung. Anak-beranak itu sungguh mesra. Kalau Syafiq mula rasa kurang tenang, dia akan pulang ke kampung buat pengubat jiwa.

“Ibu, duit simpanan peninggalan arwah ayah dulu banyak tak?”

“Hah? Kau nak buat apa?” Ibunya mula memikirkan yang bukan-bukan. Jangan-jangan anak aku ni hendak kahwin agaknya. Hendak pinjam duit ke?

“Bagaimana kalau kita sedekahkan sedikit duit ayah ke masjid? Kita tambahkan amal jariahnya.” Syafiq memberi cadangan kepada ibunya.

Si ibu tersenyum dan mengangguk setuju.

Kisah ini disedut daripada buku 'Warkah Alam' terbitan Al-Ameen Serve.
Penulis adalah Mohd Fadzli Abu Bakar dan Wahyu Budiwa Rendra.